Mahkamah: Pengawal pengiring kenamaan didenda RM1,000

2024-11-04 HaiPress

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR,4 November- Seorang pengawal pengiring orang kenamaan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kerana menumbuk muka seorang pemandu e-hailing yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) semasa menunggu pelanggannya di lobi sebuah hotel,Mei lepas.

Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan menjatuhkan hukuman itu terhadap Lans Koperal Muhammad Taufik Ismail,32,selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit.

“Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,000,jika gagal bayar tertuduh dikenakan hukuman penjara 20 hari,” kata Farah Nabihah.

Tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap Ong Ing Keong,47,di hadapan lobi sebuah hotel di Brickfields di sini pada 11.40 pagi,28 Mei.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya,jika sabit kesalahan.

Muhammad Taufik yang diwakili peguam A. Ashok membayar denda itu.

Berdasarkan fakta kes,semasa kejadian pengadu yang merupakan pemandu e-hailing telah memandu keretanya ke hadapan lobi sebuah hotel untuk mengambil penumpang dan telah menunggu penumpang terbabit lebih kurang lima minit.

Semasa penumpang itu masuk ke dalam kenderaan,pengadu melihat ada beberapa orang termasuk tertuduh yang bertindak seperti pengawal peribadi orang kenamaan berada di situ dan menunjukkan isyarat tangan kepadanya untuk beredar.

Namun,pengadu tidak faham kerana dia merupakan OKU pekak dan bisu.

Pengadu telah membuka cermin kenderaannya dan mengangkat tangan kepada tertuduh untuk bertanya berkenaan apa yang terjadi dalam bahasa isyarat sebelum tertuduh menumbuk pengadu di bahagian mukanya dan menyebabkan pengadu berasa sakit di bahagian pipi sebelah kanan.

Lelaki itu kemudian meninggalkan lokasi kejadian dan menghantar penumpangnya lalu membuat laporan polis.

Siasatan lanjut mendapati tertuduh berada di tempat kejadian kerana bertugas sebagai pengawal pengiring kepada orang kenamaan dan laporan perubatan mengesahkan bahawa terdapat bengkak di bahagian muka sebelah kanan pengadu.- BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.