2024-11-21 HaiPress
Nur Hafizah Hassan menerima skrol ijazah bagi mewakili adiknya Allahyarham Muhammad Ariff Aiman Hassan (gambar kecil)
KUALA LUMPUR,21 November - Hari graduasi sepatutnya menjadi momen kegembiraan yang dikongsi bersama keluarga tersayang,tapi tidak bagi Nur Hafizah Hassan apabila Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-100 itu bertukar penuh emosi buat mereka sekeluarga.
Mana tidaknya,belum sempat Allahyarham Muhammad Ariff Aiman Hassan merasai detik kejayaan itu,kakaknya,Nur Hafizah,tampil mewakili arwah menerima skrol pada majlis konvokesyen baru-baru ini.
Saat nama arwah diumumkan,dewan dipenuhi dengan tepukan gemuruh sebagai tanda penghormatan,manakala kakaknya melangkah naik pentas dengan linangan air mata,membawa kenangan dan harapan keluarga yang tidak kesampaian.
Arwah berusia 24 tahun merupakan graduan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Perniagaan Antarabangsa dari Fakulti Pengurusan dan Perniagaan.
Anak kelahiran Kuantan,Pahang itu meninggal dunia pada 10 April lalu akibat jangkitan serius di leher.
Hafizah menyifatkan arwah seorang yang berbudi pekerti mulia,mudah mesra,dan sentiasa ringan tulang membantu orang lain,menjadikan dirinya disayangi oleh keluarga serta rakan-rakan.
“Saya anak sulung,dia anak bongsu,beza umur kami 14 tahun. Nama dia pun saya yang pilih,tulis dan uruskan sijil kelahiran. Hari ini,saya hadir untuk menerima skrol ini kerana saya tahu betapa penatnya dia belajar untuk mencapai ijazah ini," katanya dengan sebak.
Menurutnya,arwah rajin membantu keluarga,sering bekerja sambilan semasa cuti semester termasuk berniaga di pasar malam dan menjadi penghantar makanan.
"Dia satu-satunya anak lelaki dalam keluarga kami,harapan keluarga. Kami mengharapkan dia untuk menyara keluarga," tambahnya lagi.
Momen itu menyentuh hati semua graduan dan ibu bapay yang hadir,mengingatkan bahawa cinta keluarga tetap abadi meskipun jasad telah tiada.