PM Anwar tekankan kerjasama negara Islam, rakan akrab

2024-12-11 HaiPress

Anwar Ibrahim ketika meninggalkan Mesyuarat The Strategic Vision Group: Russia-Islamic World di Kuala Lumpur hari ini/RTM

KUALA LUMPUR,11 Disember- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerjasama antara negara Islam dan rakan akrab lain adalah asas kepada kebebasan serta kestabilan dalam persekitaran global yang pelbagai.

Berucap pada Mesyuarat The Strategic Vision Group: Russia-Islamic World di ibu negara hari ini,beliau menyatakan penyertaan beberapa negara Islam dalam BRICS baru-baru ini mencerminkan pengukuhan kerjasama baharu antara negara anggota.

"Kami yakin melalui kerjasama yang berkesan antara negara Islam bersama rakan akrab lain,kita harus menjalin persefahaman baharu. Itulah sebabnya Malaysia memilih menjadi sebahagian daripada BRICS.

"Kami amat mementingkan kerjasama seperti ini yang menunjukkan bahawa kami boleh menegaskan hak kami secara bebas dalam persekitaran pelbagai," ujar Perdana Menteri.

Namun begitu,beliau turut menekankan cabaran besar yang masih dihadapi oleh negara Islam,termasuk isu kekejaman yang berterusan terhadap Palestin.

Ucapan beliau turut menyerlahkan komitmen Malaysia dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa demi memastikan hak serta kebebasan dapat ditegakkan dengan lebih berkesan.

Dalam pada itu,Anwar turutmenyeru usaha bersepadu antara negara untuk menghayati nilai ihsan,keadilan dan kemanusiaan dalam mendepani isu perkauman serta Islamofobia terhadap negara Islam.

Beliau menekankan bahawa prinsip As-Samud,Rahmah dan Ihsan perlu menjadi pegangan masyarakat Islam bagi menghadapi cabaran global yang semakin mencabar.

"Kami fikir bahawa dengan pembangunan,kemajuan dan pengetahuan akan ada lebih banyak kebijaksanaan dan toleransi. Namun,ini tidak berlaku.

"Dunia kini menyaksikan peningkatan kebangkitan fasisme,perkauman,sikap tidak bertoleransi dan tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap umat Islam,bukan sahaja di Palestin dan Gaza,tetapi juga di banyak bahagian dunia lain," katanya.

Perdana Menteri turut menzahirkan kebimbangan terhadap kegagalan masyarakat antarabangsa dalam memelihara nilai kemanusiaan sejagat serta menegaskan keperluan mendesak untuk menangani masalah tersebut melalui solidariti dan dialog.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.