2025-02-28
IDOPRESS
Menteri Kewangan II,Datuk Seri Amir Hamzah Azizan / Foto RTM
KUALA LUMPUR,27 Februari – Skim Jaminan Kredit Perumahan di bawah Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Bhd (SJKP) akan diperkukuh dengan jaminan tambahan sebanyak RM10 bilion tahun ini,bagi memudahkan pemilikan rumah dalam kalangan golongan berpendapatan tidak tetap.
Menteri Kewangan II,Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata peningkatan itu mengambil kira keperluan semasa,terutama bagi pekerja dalam sektor informal dan ekonomi gig.
“Langkah ini memudahkan pemilikan rumah bagi mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau slip gaji formal seperti pekerja gig,pemilik perniagaan kecil dan pekerja sektor tidak formal. Dengan jaminan pembiayaan rumah oleh SJKP,lebih ramai rakyat berpeluang membeli rumah pertama mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Inisiatif Belanjawan 2025 - Peruntukan Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan dan Skim Jaminan Kredit Perumahan,di sini.
Tambah Amir Hamzah,Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) turut menyediakan sokongan kewangan lebih menyeluruh tahun ini kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS),termasuk akses pembiayaan lebih mudah,sokongan terhadap inovasi,amalan lestari serta peningkatan daya tarikan sektor pelancongan negara.