2025-04-08
IDOPRESS
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA),Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
KUALA LUMPUR,8 April – Tujuh pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang dilaporkan terbabit kes buli secara fizikal dan video berkaitan tular di media sosial,disyorkan ditamatkan pengajian dari institusi pendidikan terbabit.
Menurut Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA),Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki,keputusan tersebut dibuat berdasarkan syor Jawatankuasa Disiplin MRSM.
“Keputusan kes buli MRSM,Jawatankuasa disiplin maktab: Tujuh pelajar didapati terlibat,dua terlibat buli fizikal,lima subahat. Disyorkan semuanya ditamatkan pengajian dari MRSM,” jelas Dr. Asyraf menerusi status ringkas di Facebooknya hari ini.
Dalam ruangan komen,Dr. Asyraf menegaskan beliau tidak bersetuju pelajar terbabit diberi peluang kedua dan tidak akan melayani pelaku yang melanggar disiplin institusi pendidikan tersebut.
“Maaf saya tidak setuju untuk diberikan peluang kedua kerana sejak dari awal saya diamanahkan sebagai Pengerusi MARA,berulang kali saya ingatkan dan tegaskan bahawa prinsip saya #YouTouchYouGo," katanya.
Justeru,tiada kompromi dan tiada tempat untuk pembuli dan apa jua bentuk budaya buli di mana-mana Institusi Pendidikan MARA (IPMA) termasuk MRSM.
“Tidak kira anak sesiapa sekali pun,Tan Sri,Datuk hatta anak orang berpengaruh macam mana sekalipun,jika terlibat dalam buli,tindakan tegas dan keras akan diambil.
“Tidak perlu cari jalan untuk bertemu saya bagi maksud merayu. Pejabat saya tidak sesekali melayani pelaku-pelaku yang melanggar prinsip kemanusiaan seperti ini,” tegasnya.
Dalam pada itu,beliau turut mengadakan perbincangan lanjut bersamaKetua Pengarah MARA berhubung isu terbabit,dalam memastikan budaya buli dapat dikekang sepenuhnya.
"Antara yang saya minta pihak pengurusan perhalusi ialah cadangan untuk menempatkan warden sepenuh masa berjawatan kontrak di semua MRSM seluruh Malaysia.
Warden ini boleh dilantik melalui proses temu duga dan penilaian holistik terhadap calon-calon dalam kalangan pesara tentera mahupun polis yang punya keupayaan baik untuk menerapkan elemen disiplin dan memantau secara lebih komprehensif terhadap pembangunan sahsiah dan keperibadian pelajar di asrama,“ katanya.
Terdahulu tular video mengaitkan perbuatan buli secara fizikal menaitkan pembabitan pelajar MRSM di utara tanah air.
BERITA BERKAITAN
Kes buli MRSM: Polis buka kertas siasatan
Kes buli MRSM: Pelajar terlibat digantung untuk siasatan lanjut