JKN Perlis sahkan insiden lelaki menyamar Penolong Pegawai Perubatan di HTF

2025-04-22 IDOPRESS

Hospital Tuanku Fauziah

KANGAR,21 April- Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis mengesahkan insiden penyamaran sebagai Penolong Pegawai Perubatan (PPP) oleh seorang lelaki yang tular di TikTok semalam,berlaku di pekarangan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini pada 8 April lalu.

Pengarah Kesihatan negeri Dr Ghazali Chik berkata kejadian itu berlaku pada pukul 9.28 malam dan pelaku dikenal pasti sebagai orang awam berusia 22 tahun yang lengkap berpakaian seragam PPP serta membawa beg peralatan perubatan.

"Suspek mengaku membeli pakaian seragam PPP dan peralatan berkaitan menerusi platform dalam talian. Dia menyamar kerana mempunyai minat mendalam terhadap profesion itu," katanya dalam kenyataan malam ini.

Dr Ghazali berkata JKN Perlis memandang serius perkara itu dan sudah mengarahkan pihak hospital memperketat kawalan keselamatan di seluruh kawasan HTF.

Beliau turut mengingatkan orang awam bahawa penyamaran sebagai penjawat awam adalah satu kesalahan jenayah mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

"Pihak HTF sudah mengambil tindakan segera dengan memaklumkan perkara itu kepada pengurusan tertinggi jabatan pada hari sama.

"Laporan polis turut dibuat pada 9 April lepas dan tindakan lanjut diserahkan kepada pihak berkuasa," katanya.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.