2025-06-19
IDOPRESS
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin/ Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR,19 Jun– Kementerian Pertahanan belum menerima sebarang arahan rasmi berhubung penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam misi pemindahan rakyat Malaysia dari Iran setakat ini.
Menteri Pertahanan,Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata urusan itu kebiasaannya dikendalikan oleh Kementerian Luar memandangkan ia melibatkan aspek hubungan diplomatik dan keselamatan serantau.
“Kita faham bahawa bukan semua pesawat,termasuk pesawat tentera,boleh memasuki ruang udara Iran. Malah,penggunaan pesawat tentera boleh menimbulkan persepsi yang sensitif.
"Oleh itu,penyelarasan dan keputusan muktamad akan dibuat oleh Kementerian Luar dan sebarang pertanyaan lanjut sebaiknya dirujuk terus kepada mereka demi ketelusan dan keadilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-59 Koperasi Tentera yang berlangsung di Wisma Perwira,di sini hari ini.
Bagaimanapun,beliau menegaskan bahawa Kementerian Pertahanan sentiasa bersedia untuk melaksanakan sebarang arahan daripada kerajaan jika diperlukan dan akan terus berhubung rapat dengan pihak berkaitan bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil sekiranya keadaan memerlukan.