Pembinaan tembok sepanjang sempadan Kelantan-Thailand dipertimbang, diteliti

2025-06-20 HaiPress

Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah/ BERNAMA

KOTA BHARU,20 Jun- Kerajaan masih mempertimbangkan dan membuat penilaian berhubung pembinaan tembok di sepanjang sempadan Kelantan -Thailand.

Timbalan Menteri Dalam Negeri,Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata,semua aspek perlu dilihat dan dinilai bagi memastikan sempadan negara selamat daripada sebarang ancaman.

"Semua perkara-perkara tersebut dalam pertimbangan,kita lihat semua aspek. paling penting ialah kita ingin pastikan supaya sempadan negara benar-benar selamat dan terpelihara.

"Selain itu kita juga dapat mengawal isu berkaitan dadah serta ancaman-ancaman lain. Jadi kita menerima apa juga pandangan dan cadangan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas Program Timbalan Menteri Dalam Negeri bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) di sini.

Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar turut memaklumkan bahawa kementerian itu juga menerima cadangan polis negeri berhubung pembinaan tembok tersebut dan perkara tersebut akan dibincangkan.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa memberikan keutamaan dalam aspek kawalan sempadan bagi memastikan keselamatan negara berada pada tahap terbaik.

Pada 10 Jun lalu media melaporkan,pembinaan tembok atau pagar sempadan di Kelantan-Thailand mampu menyelesaikan kegiatan penyeludupan.

Sementara itu Ketua Polis Kelantan,Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata,sempadan Kelantan-Thailand sejauh 45 kilometer itu begitu terbuka dan hanya mempunyai lapan pos kawalan.

Beliau memaklumkan bahawa kelompongan tersebut menyebabkan kegiatan penyeludupan masih berlaku di kawasan sempadan.

Dalam perkembangan berkaitan,Datuk Seri Dr Shamsul Anuar berkata,penurunan kes penyalahgunaan dan penagih dadah di Kelantan sebanyak 5.4 peratus pada tahun ini adalah bukti keberkesanan penutupan 'lubang tikus' di kawasan sempadan negara.

Statistik menunjukkan jumlah itu sepanjang Januari sehingga Mac tahun ini,adalah seramai 11,280 orang berbanding 11,928 orang bagi tahun sebelumnya dalam tempoh sama.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.