2025-07-10
IDOPRESS
Foto fail
ARAU,10 Julai -Peruntukan RM650,000 disalurkan bagi pemasangan sistem Saluran Air Bersepadu Daerah (ALBD) Bendang Baharu sebagai usaha meningkatkan kecekapan pengairan dan menyokong aktiviti penanaman padi.
EXCO Pertanian Pertanian,Perladangan dan Kepenggunaan Perlis Razali Saad berkata,projek berkenaan memberi manfaat kepada hampir 300 pesawah yang mengusahakan kira-kira 240 hektar sawah padi di kawasan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) E1 Simpang Empat.
Sistem itu dibangunkan untuk mengatasi masalah sawah yang sering ditenggelami air terutama ketika musim menabur benih.
"Kita dapat terus menggunakan pam ini untuk sedut air itu keluar daripada terusan Arau ini bagi mengatasi masalah air yang dihadapi. Dan apa yang kita dapat maklum balas daripada masyarakat setempat ialah satu keputusan yang amat positif dan mereka mengucapkan terima kasih banyak-banyaklah kepada semua yang terlibat dalam menyelesaikan masalah mereka ini," kata Razali Saad.
Beliau bercakap kepada meedia ketika meninjau pengoperasian sistem Saluran Air Bersepadu Daerah Bendang Baru bersama pegawai dan kakitangan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
Menurutnya,sistem yang dibangunkan dengan kerjasama MADA itu telah berjaya mengatasi masalah banjir yang sebelum ini menjejaskan kawasan tanaman padi di unit Bendang Baharu,Tok Pulau,Chantek Bangun dan Bongor Kudong.
Beliau turut memaklumkan bahawa sistem ALBD yang terbukti berkesan itu akan diperluas ke dua lagi lokasi iaitu sekitar kawasan Guar Sanji dalam fasa seterusnya.