Australia Salur AUD1.28 Bilion Perkukuh Perkongsian ASEAN

2025-07-11 HaiPress

Penny Wong,Menteri Luar Australia / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR,10 Julai -Australia mengulangi komitmen untuk terus menjadi rakan strategik utama ASEAN dengan menyalurkan AUD1.28 bilion Bantuan Pembangunan Rasmi (ODA) bagi tempoh 2025–2026.

Komitmen itu diumumkan menerusi Kenyataan Bersama ASEAN-Australia sempena Mesyuarat Pasca Menteri ASEAN bersama Australia,di sini.

Bantuan tersebut bertujuan menangani cabaran serantau,membina ketahanan,dan menyokong pembangunan mampan berkualiti tinggi sejajar Agenda Pembangunan Mampan 2030.

“Sebagai rakan dialog tertua ASEAN,Australia kekal teguh menyokong pertumbuhan,pembangunan dan kemakmuran jangka panjang Asia Tenggara,” menurut kenyataan itu.

Australia turut menegaskan sokongan penuh terhadap visi ASEAN sebagai pusat pertumbuhan di Indo-Pasifik.

Australia juga berpegang kepada prinsip Pemusatan ASEAN dan pelaksanaan ASEAN Outlook on the Indo-Pacific (AOIP) melalui kerjasama praktikal dalam empat bidang keutamaan.

"Dalam memperkukuh Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-Australia,Canberra komited melaksanakan Rancangan Tindakan 2025–2029.

Antara inisiatif utama termasuk Aus4ASEAN Futures Initiative bernilai AUD204 juta,Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia (AUD500 juta),dan pelaburan strategik melalui Invested: Australia’s Southeast Asia Economic Strategy to 2040," menurut kenyataan itu lagi.

Australia turut menyokong transformasi digital ASEAN dengan memperkukuh kapasiti pelaksanaan ASEAN Digital Economy Framework Agreement (DEFA).

Selain itu,Australia menyumbang AUD6.9 juta bagi Pakej Kerjasama Tenaga ASEAN-Australia untuk mempercepat peralihan tenaga boleh diperbaharui dan menyokong sasaran ASEAN Power Grid menjelang 2045.

Dalam perdagangan dan pelaburan,Australia menyambut baik pengesahan Protokol Kedua AANZFTA dan menyalurkan AUD46 juta menerusi Inisiatif Perdagangan Serantau untuk Pembangunan (RT4D) bagi menyokong keutamaan ekonomi ASEAN.

Hubungan rakyat juga menjadi tumpuan,termasuk biasiswa,latihan kemahiran,dan pertukaran budaya melalui program seperti Aus4ASEAN Scholarships,Fellowships,serta inisiatif pembangunan kemahiran digital.

“Australia berhasrat memperkukuh perkongsian ini demi manfaat berpanjangan kepada rakyat dan rantau ini,” kata kenyataan itu.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.