2025-09-28
HaiPress
Foto Batik Air
KUALA LUMPUR,27 September – Batik Air bakal mencatat sejarah baharu dengan pengenalan sembilan laluan penerbangan baharu yang dijadualkan bermula pada 8 Disember ini.
Ia merupakan antara pelancaran rangkaian terbesar dalam satu hari oleh syarikat penerbangan itu,sekali gus mencerminkan visi syarikat untuk memperkukuh kedudukannya di rantau ini
Langkah tersebut turut menyokong Rancangan Pemulihan Lapangan Terbang Subang (SARP) untuk menjadikan Subang sebagai hab serantau yang berdaya saing.
Laluan baharu dari Subang merangkumi Singapura,Jakarta,Langkawi dan Johor Bahru,manakala Pulau Pinang bakal dihubungkan ke Singapura,Medan,Kuching dan Kota Kinabalu.
Selain itu,Ipoh turut diperkenal sebagai destinasi baharu dengan laluan terus ke Singapura.
Menerusi satu kenyataan,Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air,Datuk Chandran Rama Muthy berkata pelancaran itu mencerminkan perancangan teliti dan hala tuju jelas dalam sektor penerbangan serantau.
“Laluan baharu ini bukan sekadar perluasan rangkaian,ia melambangkan arah tuju kami sebagai syarikat penerbangan. Dengan menjadikan Subang dan Pulau Pinang sebagai hab,serta memanfaatkan Singapura sebagai sumber utama pelancong masuk,selain menyokong persiapan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Mulai November,semua syarikat penerbangan Kumpulan Lion termasuk Batik Air akan beroperasi di Terminal 4 Lapangan Terbang Changi bagi meningkatkan pengalaman perjalanan penumpang.